Tuesday, 1 September 2015




KAEDAH-KAEDAH FIQH YANG BERKAITAN

Terdapat beberapa kaedah fiqh yang boleh diguna pakai dalam menentukan keharusan hukum mengenai  isu pemindahan dan pendermaan organ  kepada pesakit yang mengalami kegagalan fungsi organ peringkat akhir ini. Tujuan utamanya ialah untuk memenuhi salah satu tuntutan maqasid syar’iyyah iaitu menjaga nyawa manusia disamping mempertingkatkan kualiti hidup penerimanya.    

Antara kaedah fiqh yang dikenal pasti dalam mengharuskan pemindahan dan pendermaan organ adalah, “Kaedah Maslahah Al-Mursalah” iaitu mendatangkan segala bentuk kemanfaatan atau menolak segala kemungkinan  kemudharatan yang merosak. Kemaslahatan ialah perkara yang mendatangkan kebaikan yang tidak didukung oleh dalil syariat atau nas yang terperinci, namun ia mendapat sokongan kuat dari makna secara tersirat sejumlah nas yang ada. Ianya juga termasuk dalam Maqasid Syar’iyyah  iaitu maslahah yang dikehendaki Allah S.W.T  untuk hambanya yang terdiri daripada memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta secara mutlak. Oleh itu maslahah ini adalah satu keadaan di mana tiada dalil khusus daripada syara’ yang menerangkannya dan tidak ada hukum yang telah dinaskan oleh syara’ yang menyerupainya, yang mana boleh dihubungkan hukumnya melalui dalil Qiyas. Tetapi pada perkara tersebut terdapat satu sifat yang munasabah untuk diletakkan hukum tertentu kepadanya kerana ia mendatangkan maslahah atau menolak mafsadah (perkara yang mendatangkan kerosakan).

Oleh itu kaedah pemindahan organ ini adalah bertepatan dengan hadith Rasululllah (saw) yang menjanjikan adanya penawar bagi setiap penyakit kecuali tua dan mati (Hadith Riwayat al-Bukhari).

Kaedah الأصل فى الاشياء الاباحة حتى يدل الدليل على التّحريم    iaitu “Asal pada kebanyakan perkara adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan ianya haram” adalah juga antara kaedah yang boleh digunakan dalam isu ini.  Pemindahan organ adalah satu kaedah rawatan yang tidak disebut secara spesifik di dalam al-Quran mahupun Sunnah kerana kaedah ini merupakan perkembangan yang baru dalam dunia perubatan. Para ulama telah bersepakat bahawa pemindahan organ adalah diharuskan. Di samping itu tiada persepakatan sama ada isu ini diterima atau ditolak berdasarkan daripada sumber nas yang qat’ie.  Namun begitu keharusan pemindahan organ ini adalah apabila tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit. Ianya juga diharuskan  sekiranya tidak mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (yang masih hidup).

No comments:

Post a Comment